Friday, March 17, 2017

10 Cara TENANGKAN HATI Dalam Berusaha?

10 Cara Bagaimana Untuk TENANG Dalam Berusaha?
#1
Jangan terlalu fikirkan hasil, tenang. Usaha. Bila kita tenang, aura lebih terserlah. Hargai usaha dan serah pada Allah swt. Hati kita dalam genggaman-Nya.
#2
Bebaskan diri dari penghargaan manusia, jangan merasa hebat. Dia yang Maha Hebat yang menjadikan diri kita hebat.Jika kita niat untuk buat baik, Dia akan balas dengan kebaikan. InsyaAllah
#3
Jangan terlalu rasa bersalah, ia akan melemahkan 'energy' kita. Taubat dan perbaiki kesilapan.
#4
Kita tahu dunia ini tempat ujian, markahnya nanti di Padang Mahsyar. InsyaAllah, kita akan tenang kerana sentiasa ingat untuk mengumpul banyak bekalan untuk dibawa pulang ke tempat abadi.
#5
Dunia bukan tempat berlumba, tetapi untuk melakukan yang terbaik. Bukan untuk fokus dicakap orang baik, tetapi perlu menjadi orang yang baik. Bukan sebab hendak tunjuk hebat tapi ia ibadah. Sentiasa periksa ketulusan dan keikhlasan hati.
#6
Maksimakan ikhtiar. Atur strategi dan taubat terus menerus. Sentiasa tenang, pasti ada jalan. Sebab rezeki susah kerana terhalang oleh dosa. Jadi banyakkan taubat, Allah akan membuka rezeki tanpa disangka.
#7
Hidup harus lurus, harus ada ketulusan dn keikhlasan. Andai tiada, usaha kita tidak menjadi amal kebaikan.
#8
Ketika kita mahukan sesuatu, bertenanglah untuk menghadapi prosesnya. Setiap satu doa, Allah akan jawab.
#9
Tiada orang yang lebih hebat dan kuat tanpa mengatasi masalah. Jika mahu naik kelas, kita mesti mengatasi masalah. Ubah definisi masalah menjadi positif.
#10
Mengeluh hanya menambahkan masalah. Tangani dengan rasa syukur,banyak beramal, sedekah dan berdoa. Tenangkan hati yang gelisah. Masalah itu, Allah yang izinkan ia berlaku.
Petikan dari buku 'Ingatkan jadi SAINTIS, tapi jadi PENULIS' (Farrawati Sabli)
COMING SOON :)

Wednesday, March 15, 2017

7 SEBAB KENAPA HATI TIDAK TENANG?

PERTAMA
#KurangBersyukur
Prinsip mendapat ketenangan dengan syukur:
1) Usah tunggu bahagia untuk kita bersyukur, tetapi bersyukur dahulu untuk dapat bahagia.
2) Usah tunggu banyaknya nikmat baru hendak bersyukur, tetapi bersyukurlah atas nikmat yang sedikit. Apabila kita bersyukur pada nikmat yang sedikit, Allah akan tambah nikmat. InsyaAllah.
Kualiti jiwa adalah pada kualiti SYUKUR.

Mengapa sukar untuk BERSYUKUR?
#TersalahFokus
Adakalanya:
-Kita terlalu fokus pada apa yang tidak ada, tidak fokus pada apa yang telah ada.
-Kita terlalu fokus pada kekurangan, bukan pada kelebihan.
-Kita terlalu fokus pada nikmat, tidak fokus pada Pemberi Nikmat.
Kerana tersalah fokus, kita lebih banyak mengeluh dari bersyukur. Hidup jadi tidak tenang kerana titik-titik penyakit hati makin menebal. Tekanan dari ujian hidup tidak dapat diuruskan dengan baik.
Bersyukurlah! Terlalu banyak nikmat yang perlu disyukuri. Alhamdulillah.

KEDUA
#SukarMemaafkan
Kajian dari pakar psikologi telah membuktikan bahawa memaafkan mampu menghilangkan segala beban dalam hidup kita. Namun, caranya sudah tentu dengan kemaafan yang disertai dengan penuh keikhlasan sehingga kehidupan kita menjadi lebih tenang dan indah.
.
MENGAPA TIADA MAAF BAGIMU?
Sesuatu perkara yang menyakitkan satu ketika dulu kita simpan-simpan dan pendam dalam hati, ianya umpama menyimpan sebuah bara api di dalam hati, tidak berapi, tetapi terus berasap, jika tidak dipadam, mungkin bara api itu terbakar lagi.
.
Apalagi ada orang lain yang membantu untuk mengipas bara api itu. Tentulah makin berapi-api kemarahan itu. Makin benci, makin dendam, makin marah.
.
Begitu sakit menyimpan dendam dan kemarahan. Hati sakit, jiwa sakit, gundah gulana. Hati bagai terpenjara dalam rasa dendam yang tidak berkesudahan.
.
Pujuklah hati, jangan sakit lagi.
Pujuklah hati, jangan terus lemah begini.
.
Andai ingin hidup tenang dan bahagia, sulitkah untuk memaafkan?
Kawan, hidup hanya sementara. Akhirat juga yang kekal abadi. Maafkanlah....

KETIGA
#TerlaluMengharapPadanganManusia
Apabila membuat sesuatu pekerjaan, yang diharapkan adalah pujian manusia, bukan pujian Ilahi. Contohnya, buat baik mengharap suami puji, mengharap suami puji depan kawan-kawan dia. Namun, bila tidak dapat apa yang diharapkan, mulalah marah sendiri. 

Jika ikhlas dalam sesuatu hal, tidak timbul pengharapan pada manusia, ia memenatkan kerana masing-masing punya ego tersendiri. Sebaliknya, lakukanlah sesuatu itu, dengan hanya mengharapkan Redha Ilahi. 

InsyaAllah, hati akan tenang kerana telah membuatkan amal baik dengan hanya memohon pandangan Allah.

Akan bersambung.




AKIBAT DEPRESI

Keluarga dan Penjaga Terdedah kepada KEMURUNGAN.
Itulah tajuk perbincangan di MHI tadi (15/3/2017). Saya tekun mendengar sebab ia adalah dalam niche penulisan saya.
.
Puan Hariyati Ariffin, ibu kepada seorang pesakit kemurungan berkongsi rasa di MHI tadi. Anak perempuannya yang kini berusia 35 tahun, menghidapi penyakit kemurungan sejak 11 tahun yang lalu. Pada peringkat awal, anak dia mempunyai simptom seperti tidak mahu bekerja, malas yang luar biasa, tidur di sebelah siang, dan berjaga di sebelah malam.
.
Puan Hariyati mengatakan kini anaknya itu telah pulih 80% dengan bantuan ubat psikiatri dari hospital, namun, masih malas. Tidak mengemaskan rumah, anti-sosial, hanya mengurung dirinya di bilik dan sangat sensitif. Sehingga anak bongsunya tidak boleh tinggal di rumah kerana anaknya yang sakit itu sangat cemburu. Terpaksa dicarikan rumah sewa yang lain agar anak bongsunya dapat belajar dengan tenang.
.
Puan Haryati masih bekerja, apabila dia balik kerja, cermin tingkap habis pecah-pecah. Rumah berselerak. Perlu sabar dengan karenah anak itu, namun, kerana sehingga 11 tahun bergelumang dengan tekanan hebat akibat masalah tekanan anaknya, dia juga mengalami kemurungan tetapi masih boleh dikawal.
.
Allahuakbar, Allah berikan ketabahan yang luar biasa kepada ibu ini, diuji dengan anak yang sakit 'ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak', menyebabkan anak itu abnormal dari segi mental.
Semoga tabah Puan Hariyati, kasih ibu membawa ke Syurga!