Sunday, December 25, 2016

Bagaimana untuk TENANG menghadapi UJIAN HIDUP?

Sahabat,
Tahukah anda, statistik menunjukkan sebanyak 5.8 juta rakyat Malaysia mengalami masalah tekanan (DEPRESI) (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2014). Menjelang tahun 2020, salah satu gangguan mental iaitu ‘KEMURUNGAN’ dijangka menduduki tempat kedua dari segi beban penyakit selepas penyakit jantung. Di Sabah, seramai 12,400 pesakit  mendapatkan rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang pada tahun 2010 dan angka ini meningkat seramai 16,000 pesakit pada tahun 2014 (HMBP, 2014).

Tahukah anda, apakah punca Masalah Depresi? Menurut pakar psikologi, berikut adalah antara punca masalah depresi:

1)       Seseorang itu tidak mempunyai matlamat hidup
2)       Individu tidak dapat menguruskan emosi bila ditimpa ujian
3)       Individu yang tidak redha terhadap nasib diri
4)       Risau akan perkara-perkara yang belum tentu wujud
5)       Takut gagal dan takut dikritik
6)       Tiada motivasi diri untuk keluar dari zon kesusahan
7)       Tiada kemahiran berfikir ketika musibah

Adakah anda salah seorang yang mudah tertekan, tidak tenang, mengeluh, merungut, mudah sakit hati, gelisah dan tidak bahagia menjalani kehidupan ini? Adakah anda salah seorang dari mereka yang hampir berasa hampa dan bosan dengan kesusahan dan cabaran kehidupan seharian? Teruskan pengembaraan anda untuk membaca blog ini dan buku yang saya tulis iaitu '7 Rahsia Tenang Menghadapi Ujian Hidup', ini kerana anda bakal mengetahui bagaimana berhadapan dengan setiap situasi yang menyebabkan jiwa tidak tenang ataupun JIWA KACAU. Segala ilmu, tips, rahsia dan formula yang saya sajikan dalam buku ini adalah hasil daripada pengalaman peribadi, pengalaman orang lain, penelitian dalam setiap hikmah selepas diberi ujian dan hasil pembelajaran yang tidak pernah habis di Universiti Kehidupan ini.


'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar'
(Surah Al-'Asr, Ayat 1-3)


MENGAPA SAYA MENULIS BUKU INI? INI KISAH SAYA

Sebagai permulaan, saya ingin berkongsi ringkasan cerita saya selama 34 tahun ini. Kisah pedih saya bermula ketika saya berumur 11 tahun. Ketika itu, saya berada di darjah 5, di mana ibu saya telah disahkan menghidapi penyakit Schizoprenia. Ibu kerap sakit, sukar mengawal emosinya dan ibu perlu mengambil ubat penenang dari Hospital sepanjang hayatnya. Di usia saya yang begitu muda, saya berhadapan dengan ujian yang benar-benar menguji jiwa raga saya. Ketika itu, tiada apa yang dapat saya fikirkan selain daripada menangis.

Ketika zaman Universiti, saya bergelar pelajar Universiti selama 10 tahun. Pada tahun 2000 iaitu selepas tamat SPM, saya menerima tawaran di UiTM dalam jurusan Pra-Sains. Kemudian, saya meneruskan pengajian diperingkat Diploma Sains selama tiga tahun di UiTM Kampus Kota Kinabalu. Apabila tamat pengajian Diploma, saya meneruskan lagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Biologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah. Saya bergraduasi bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2007. Seterusnya, pada tahun 2008, saya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dengan penyelidikan secara sepenuh masa dalam bidang Pemajuan Biodiversiti di Universiti yang sama. Saya bergraduasi di peringkat Ijazah Sarjana pada tahun 2011. Apa yang menyebabkan saya belajar dan terus belajar adalah tekad saya ingin membantu keluarga dan mencapai cita-cita saya menjadi seorang pensyarah. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang telah saya lalui selama 10 tahun bergelar mahasiswa.

Kehidupan saya selepas bergraduasi dengan tempoh masa pembelajaran yang panjang di Universiti juga penuh dengan ujian dan cabaran. Selepas graduasi peringkat Ijazah Sarjana, malah sebelum graduasi lagi saya sudah mula mencari kerja. Saya menulis resume dan menghantar permohonan kerja ke mana-mana institusi yang memerlukan jawatan kosong. Saya juga mempunyai pengalaman yang banyak menghadiri temuduga namun mungkin rezeki masih belum berpihak kepada saya. Pada tahun 2012, saya telah melepasi temuduga peringkat ketiga iaitu ‘Mock Teaching’ di salah satu Universiti Awam dan saya telah dikhabarkan mendapat jawatan tersebut kerana saya telahpun mendapat kod mata pelajaran yang bakal diajar beserta silibus mata pelajaran tersebut. Namun, bila tiba masa untuk memulakan tugas, nama saya tidak tersenarai malah surat tawaran tidak dikeluarkan.

Di saat saya sangat gembira pada mulanya kerana dikhabarkan mendapat jawatan yang saya idam-idamkan itu, saya terus berasa ‘down’ dan kecewa. Ternyata, posisi jawatan itu bukan rezeki saya. Apabila saya sudah bangkit dari kekecewaan ini, satu lagi masalah yang timbul iaitu lontaran pertanyaan bertubi-tubi dari orang sekeliling di mana saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkan satu persatu pada mereka bahawa jawatan itu bukan rezeki saya. Tetapi rezeki orang lain.


Kemudian, saya mendapat tawaran menjadi tutor secara separuh masa di salah sebuah Universiti awam di Sabah. Saya sangat bersyukur atas tawaran ini walaupun ianya bukanlah berstatus jawatan yang tetap. Namun, ketika saya baru sahaja memulakan tugas, saya dilanda pelbagai masalah. Ibu kerap sakit, suami pula bertugas di Kuching dan ketika itu saya mengalami fasa alahan kehamilan yang teruk. Saya tidak dapat menguruskan masalah saya sehingga proses pengajaran saya sering terganggu. Saya bertahan sehingga dua semester iaitu dalam tempoh setahun . Saya masih ingat setiap sesi pengajaran ada dua jam, saya mempunyai tiga sesi dalam sehari iaitu enam jam berturut-turut. Saya kerap ke bilik air kerana mual dan loya, saya meneruskan memberi pengajaran namun saya hanya duduk dalam keadaan yang lemah. Sekali lagi saya tersentap apabila saya diberhentikan kerja.

Saya pernah terbaca cerita Steve Jobs, CEO Apple Computer yang persis sama dengan apa yang pernah saya lalui. Beliau pernah dipecat ketika berumur 30 tahun dimana ketika itu Syarikat Apple baru sahaja melancarkan produk terbaru iaitu Macintosh.

Ini cerita Steve Jobs selepas dipecat:
Fokus kehidupan saya hilang dan ia cukup menyakitkan. Saya hilang arah selama beberapa bulan selepas itu. Kemudian, saya mula berfikir secara rasional. Saya dipecat, tetapi saya masih mencintai pekerjaan saya. Saya membuat keputusan mengatur langkah baru. Pada ketika itu, saya tidak sedar, tetapi ternyata musibah dipecat daripada Apple adalah perkara yang terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya. Saya seperti menjadi individu baru. Ia membebaskan saya ke dalam zon kreatif dalam kehidupan saya. Saya redha dengan apa yang berlaku. Kadangkala, hidup ini kelihatan seperti tidak menyebelahi kita, tetapi jangan sesekali hilang kepercayaan. Saya yakin, saya dapat bertahan kerana saya cintakan apa yang saya lakukan. Kita perlu mencari kerja yang kita cintai. Satu-satunya cara menghasilkan perkara luar biasa adalah mencintai apa yang kita lakukan.

Saya tidak bercadang meneruskan kisah saya selepas dipecat yang mempunyai persamaan dengan cerita Steve Jobs. Saya hanya mahu menambah resepi untuk keluar dari masalah adalah sentiasalah bersyukur atas segala nikmat yang diberikan, dan tabah di atas segala ujian dan rintangan. Sentiasa berusaha keras untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih baik. Bersangka baik dengan Allah SWT, bersikap terbuka pada perkara-perkara baru, mencintai ilmu, dan terus sahaja mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran baru.

Adakalanya, kita merasakan bahawa dugaan yang Allah SWT berikan pada kita terlalu berat sehingga kita terduduk dan menangis. Namun, banyakkan bersabar dan terimalah dengan penuh rasa redha.





(Berdoalah)

Doa adalah senjata orang mukmin
Ya Allah,
Semakin aku mendekatiMu,
Semakin kuat ujianMu,
Aku lemah Ya Allah,
Aku tidak mahu ujian demi ujian ini menyebabkan aku kecewa dan putus asa dengan RahmatMu,
Aku yakin Engkau sedang meningkatkan imanku,
Namun,
Aku bimbang imanku goyang kerana dugaan yang begitu menggigit perasaan.
Aku memohon kepadaMu kekuatan iman, kesabaran dan keteguhan hati untuk menempuhi ujian ini,
Aku tetap yakin dengan kasih sayangMu Ya Allah.


Begitulah betapa Allah SWT mengasihi kita, kadang-kadang Dia tidak berikan apa yang kita mahukan, kerana DIA Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk setiap hambaNYA. Yakinlah bahawa di sebalik setiap kesulitan yang kita lalui ada kemudahan yang menanti. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Setiap dari kita telah disediakan ujian mengikut kemampuan masing-masing dan Allah SWT tidak akan memberikan sesuatu yang di luar batas kemampuan manusia.

Usahlah mengeluh dan persoalkan ‘Mengapa aku?’, Namun, bersyukurlah di atas setiap ujian yang diberi, dan terima kasih padaNya kerana kita insan yang terpilih. Tentu Allah SWT mahu berikan ganjaran hebat di atas setiap ujian yang diberi andai kita berjaya melepasi fasa ujian dengan penuh REDHA. Sikap REDHA dan menerima segala takdir Illahi adalah kunci utama segala ‘KETABAHAN’.

  


‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ianya tidak baik bagi kamu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’
(Surah Al-Baqarah, 216)



















Saturday, December 24, 2016

Hadapi Ujian Hidup Dengan Tenang

Sudah dua malam anak sulung & kedua saya demam. Bila anak demam, saya tidak boleh tidur lena. Dalam keadaan sebegitu, lepas uruskan anak-anak yang manja bila sakit, saya buka laptop. Konon mahu menulis, tapi tiada idea. Mahu membaca, kompom tertidur. 
.
Lalu, saya membuka blog yang sudah lama tidak dibuka. Last update entry 17/6/2015. Blog ini saya bangunkan pada tahun 2009 lagi, ketika itu saya mula jadikan menulis sebagai terapi diri. Mujur password tidak lupa. 
.
Jadi, saya mengemaskini dan menjalankan aktiviti penyelenggaraan pada blog ini malam tadi. 
.
Saya teringat pesan Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor (Setiausaha Kehormat MAPOBA, Malaysia Book Publisher Association) ketika Konvensyen Penulisan pada 17/12/2016 di Wisma Sejarah Kuala Lumpur, penulis kena ada inisiatif sendiri. Kena berani bersuara, berani untuk berbicara tentang 'content' penulis. Kena 'stand strong'. 

MENGAPA AKU MENULIS?

Jika dulu saya menulis apa sahaja yang terfikir untuk tulis dalam blog ini. Namun, selepas ini saya ingin lebih fokus dan spesifik kepada content saya iaitu:
-Ujian Hidup
-Ketenangan
-Penyakit mental (Schizophrenia, Depression, Kemurungan)
-Penyembuhan jiwa, Mind Therapy
-Hijrah Mindset
Saya memilih content ini kerana sedar tidak sedar saya telah menekuni bidang ini secara tidak langsung sejak saya berusia 11 tahun, iaitu sejak ibu saya disahkan menghidapi 'Schizophrenia'. Sebab itu saya begitu ghairah menimba ilmu dengan membaca dan hadir seminar dari dulu, kini dan selamanya. InsyaAllah.
.
Kini, masanya untuk saya berkongsi, selain saya telah banyak berkongsi dalam buku saya '7 Rahsia Tenang Menghadapi Ujian Hidup'. Jika saya tidak berkongsi, saya rasa berdosa kerana penyakit dan ujian itu, Allah yang beri. Kita kena terima dengan penuh Redha.
Selamat Membaca !!
Last but not least,

'I Love Someone With Schizophrenia'

Write from the heart
Farrawati Sabli


2 buah buku '7 Rahsia Tenang Menghadapi Ujian Hidup' telah diserahkan kepada Timbalan Pengarah Hospital Mesra Bukit Padang pada 12 Oktober 2016. Boleh dapatkan di Perpustakaan hospital berkenaan untuk bacaan.


Buku '7 Rahsia Tenang Menghadapi Ujian Hidup' juga ada diserahkan ke MENTARI, Kota Kinabalu sebagai bahan bacaan percuma di sana.


Apa Kata Mereka??








Bagi anda yang berminat memiliki buku ini, email di farrawatisabli@gmail.com
Serta berhubung terus kepada saya di Facebook Penulis '7 Rahsia Tenang Menghadapi Ujian Hidup'